Sunday 11 December 2011

Perkembangan bayi pada usia 1 bulan

Bayi anda menegakkan kepalanya

Sekarang, otot leher bayi anda semakin kuat sehingga membolehkan dia menegakkan kepalanya untuk masa-masa yang singkat. Dia juga boleh mengangkatkan kepala untuk beberapa saat apabila meniarap atas perutnya dan mungkin boleh menoleh dari sisi ke sisi. Dia mungkin juga boleh menegakkan kepala semasa berada dalam kerusi bayi di dalam kereta atau semasa dibawa berjalan dengan alat pembawa bayi, pada bahagian hadapan maupun belakang. Dia boleh melakukan semua ini terutama sekali jika mendapat banyak galakan dari anda dan anda ada menyediakan tempat baginya merehatkan lehernya yang direka khas untuk membantunya bagi tujuan ini.

Meneroka tangan dan kaki

Semasa kelahiran, bayi anda tidak memahami yang lengan dan kakinya adalah sebahagian daripada tubuh badannya. Sekarang perubahan akan berlaku apabila bayi mula meneroka badannya. Bahagian yang mula dijumpainya ialah tangan dan kakinya. Anda boleh menggalakkan sifat ingin tahu bayi anda dengan mengangkatkan tangannya tinggi atas kepalanya dan menanyakan dia ‘Besar manakah bayi ini?’ atau dengan mengulangkan puisi berima dan membilang-bilang jari kakinya.

Belajar menenangkan diri

Bayi amat gemar menghisap. Mereka perlu menghisap. Sebenarnya, anda akan mendapati bahawa puting berkesan untuk membantu bayi menenangkan dirinya sendiri. Sekiranya tak ada puting, bayi mungkin mendapatkan ibu jari atau jari-jari lain untuk dihisap.

Lihat siapa yang bercakap pelat sekarang

Bayi anda yang berumur satu bulan mungkin sudah boleh membuat bunyi berdeguk, bunyi-bunyi manja, berdengus dan berlagu untuk melahirkan perasaannya. Pastikan anda juga membuat bunyi-bunyian manja dan berdeguk bersama-sama, sambil bercakap berhadapan dengannya. Setengah bayi juga sudah mula ketawa berdekah-dekah seawal ini. Walaupun anda sedang membuat kerja, dia tetap gembira mendengar suara anda dari seberang bilik. Dia akan merenong muka anda lebih lama sekarang.

Walaupun bayi anda sudah boleh mengecam muka anda dari usia beberapa hari lagi, pada penghujung bulan pertama ini dia mungkin akan dapat menunjukkan kebolehan ini. Sebanyak separuh daripada bayi pada usia ini mula menunjukkan kebolehan mengenali ibubapa mereka secara jelas: mereka menunjukkan reaksi yang berlainan kepada mak and ayah daripada orang yang tidak dikenali. Bayi anda akan berhenti menangis dan terus bertentang mata dengan anda; setengah bayi di usia ini sudah mula senyum apabila mereka melihat ibubapa mereka.

Bayi mendengar dan sukakan musik

Memandangkan bayi anda berjaga untuk masa yang lebih panjang di siang hari, anda boleh menggunakan masa-masa ini untuk merangsang perkembangan derianya. Cuba nyanyikan puisi berima atau mainkan musik untuknya. Bunyi loceng angin atau detikan jam juga akan menghiburkan bayi. Lebih bervariasi hidangan anda, lebih kaya akan impaknya. Dengan tidak disengajakan, anda akan memerhatikan anak anda menunjukkan keseronokan yang lebih terhadap satu seleksi berbanding yang lain sebaik sahaja dia memperoleh kemahiran untuk membezakan kegemarannya.

Mata boleh mengesan pergerakan objek sekarang

Apabila sudah pandai berfokus dengan kedua-dua belah mata, bayi anda sudah boleh mengikuti objek yang bergerak, iaitu satu perkara yang dia sudah melakukan untuk masa-masa yang singkat dari kelahiran lagi. Kelentong biasa yang digerakkan di depan mukanya akan selalu memegunkannya. Atau anda boleh bermain mata-ke-mata dengan menghampirinya dengan dekat dan mengerakkan kepala anda dari sisi ke sisi; selalunya pandangan matanya akan tetap tertumpu kepada mata anda.

Kedai penuh dengan mainan khusus untuk perkembangan bayi, namun begitu anda juga akan berjaya dengan hanya menggunakan objek harian yang terdapat di rumah. Lalukan keranjang berkilat atau senduk plastik yang berwarna terang dari sisi ke sisi di depannya. Kemudian lalukannya dari atas ke bawah. Ini harus menarik perhatian bayi anda, walaupun dia belum lagi boleh mengikuti pergerakan dari atas ke bawah dengan baik untuk tiga bulan lagi.

Adakah bayi saya berkembang secara normal?

Harus diingat bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai peringkat-peringkat pencapaian kognitifnya mengikut masa dan jadual mereka tersendiri. Ini semua hanya merupakan garis panduan am mengenai potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda -- jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, anda mungkin mendapati bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan sesuatu yang telah dapat dilakukan oleh bayi sama usia dengannya. Sebab itu, anda harus mengukur bayi anda berdasarkan usia yang telah diubahsuai, bukan usianya mengikut kronologi. Jangan bimbang. Kebanyakan doktor menilai perkembangan bayi pramatang berpandukan tarikh dia sepatutnya dilahirkan dan menilai tahap pencapaian kemahirannya dari tarikh itu.

Perkembangan bayi yang baru lahir

Tangan dan kaki masih melengkuk

Bayi anda yang baru lahir mungkin kelihatan "mengerekot" dengan tangan dan kakinya belum betul-betul lurus. Ini adalah normal, dan tangan dan kakinya akan melurus apabila dia bertambah selesa dengan keadaan di luar perut anda. Jika kakinya kelihatan melengkung bengkok, jangan bimbang. Ini adalah sebahagian proses meregang dan akan membetul dengan sendirinya apabila dia berusia lima atau enam bulan.

Menjelang akhir bulan, bayi anda akan dapat mengangkat kepalanya untuk seketika apabila dia berbaring atas perutnya dan mungkin boleh memusingkan kepala dari sisi ke sisi. Pergerakan yang tersentak-sentak akan menjadi lebih lancar apabila sistem urat sarafnya menjadi lebih matang. Namun begitu, refleksnya yang masih primitif, seperti menghisap dan mengunyahkan tangannya, masih dominan.

Bayi baru lahir masih sedang mengubahsuaikan diri kepada dunia baru yang sangat berbeza daripada keadaan dalam rahim yang selesa hangat dan selamat, dan inilah sebabnya kebanyakan bayi amat gemarkan bedungan -- dibalut selamat dalam selimutnya.

Dikuasai oleh kelaparannya

Makanan adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan bayi baru lahir, dan tidur adalah yang kedua penting. Kebanyakan bayi baru lahir akan menyusu dua atau tiga jam sekali siang dan malam. Pola tidur bayi seperti itu juga. Kebanyakan bayi baru lahir tidur sejumlah 16 hingga 17 jam dalam masa 24 jam, tetapi ini meliputi jumlah tidur yang tidak panjang masanya sebanyak lebih kurang lapan kali. Menjelang akhir bulan, bayi anda akan dapat menunjukkan satu pola menyusu dan tidur yang agak tetap. Namun begitu, anda mungkin tidak mendapati sebarang pola yang tetap untuk beberapa bulan lagi.

Menangis bentuk komunikasi utama

Kini, bayi anda belum lagi menunjukkan sebarang personaliti -- atau apa yang kita boleh kenali sebagai personaliti. Tetapi dia giat mengekspresikan dirinya dengan cara yang paling diketahuinya: menangis. Dia menghabiskan masanya dengan melalui dan merentasi beberapa alam mengantuk, berjaga senyap dan berjaga aktif.

Sesudah melalui trauma kelahiran, dia sekarang sedang cuba menguruskan kebanjiran pelbagai rangsangan. Pada bulan ini bayi anda akan menjadi senyap dan tenang apabila anda bercakap dengannya dengan suara lembut dan apabila anda menegakkan badannya. Dia mungkin juga mengeluarkan bunyi "ah" apabila dia mendengar suara anda dan melihat muka anda. Kebanyakan bayi suka dipeluk, dibelai, dicium, diusap, diurut dan didukung. Sentuhan adalah cara penting bagi anda berkomunikasi dengan bayi anda.

Dia hanya melihat wajah anda

Penglihatan bayi anda masih kabur dan samar-samar. Muka anda adalah yang paling menarik baginya pada masa ini, selain dari objek yang berkontras. Inilah sebabnya mainan hitam dan putih, dan mainan gantungan dikenalkan. Sebenarnya, jangkauan penglihatan bayi baru lahir hanya dalam lebih kurang 12 inci/30 sentimeter. Dalam erti kata lain, bayi anda dapat melihat muka orang yang mendukungnya dengan jelas, tetapi tak boleh nampak lebih jauh dari itu. Kajian menunjukkan bahawa bayi lebih suka melihat muka orang daripada lain-lain pola atau warnaan. Oleh itu, letakkan muka anda berhampiran dengan dengan bayi anda supaya dia boleh mengkaji raut muka, hidung, mata dan mulut anda, dan bercakaplah dengannya.

Pembelajaran bermula dengan serta-merta

Anda mungkin memerhatikan ada masa tertentu di mana bayi anda yang baru lahir itu senyap dan berjaga. Ini adalah masa yang prima untuk pembelajaran. Gunakan masa-masa ini untuk bermain dan bercakap dengan bayi anda. Tetapi, jika anda cuba berinteraksi dengannya dan dia tidak begitu responsif, dia mungkin terlalu mengantuk atau telah berganjak masuk ke alam berjaga aktifnya.

Dari saat awal ini lagi, bayi telah boleh mengecam muka dan gerak isyarat secara intuitif -- dan ada kalanya dia mengajuk gerak-geri ini. Berilah bayi anda yang baru lahir peluang untuk meniru dan mencontohi ekspresi muka anda dengan meletakkan muka anda dekat dengan mukanya dan menjeler lidah atau meninggikan alis mata anda beberapa kali. Kemudian ulangi. Berikan dia sedikit masa untuk meniru ekspresi anda. Dia mungkin tidak memberi respon dengan serta merta, atau mungkin dia tidak berbuat apa-apa, tetapi, anda tak perlu ragu sebab dia pasti memerhatikan anda.

Bermain dengan bayi baru lahir anda

Mainan gantungan yang mempunyai pola berkontras tinggi dan buku-buku bergambar yang mempunyai lukisan berlakar terang akan menakjubkan bayi anda. Tapi, awasilah reaksi bayi anda terhadap rangsangan dan interaksi. Walaupun memang baik bagi anda membantu dia mempelajari tentang dunianya, setengah bayi hanya boleh menmanfaatkan interaksi untuk masa yang pendek sahaja, atau rangsangan terhadap satu deria sahaja pada sesuatu masa. Bayi anda akan menunjukkan yang dia dirangsang berlebihan dengan menguap, mengalih pandangannya, melengkuk badannya, memusing kepalanya, meragam atau menangis. Dia juga akan memberitahu anda apa yang disukainya, dan percayalah, anda akan memahami isyarat-isyaratnya dalam sedikit masa sahaja.

Bayi kagum akan refleksi mereka sendiri. Anda boleh menghiburkannya dengan meletakkan cermin bayi yang tidak boleh pecah di katilnya untuk dia bertatapan. Dia belum lagi dapat mengenali dirinya sendiri tetapi akan memerhatikan pergerakan dalam cermin pada masa-masa tertentu. Gim mainan yang dilengkapi dengan barang yang mampu menambat minat, barang yang boleh dipukul dan mengeluarkan bunyi membolehkan bayi anda melatih kemahiran mengkoordinasikan lengan, tangan dan jarinya -- dan dapat mengurangkan kebosanan berbaring. Pada bulan-bulan pertama, dia belum lagi boleh mengerakkan tangannya secara sedar untuk mencapai objek tertentu – pergerakan seperti ini datangnya kemudian, pada usia empat atau lima bulan.

Adakah bayi saya berkembang secara normal?

Harus diingat bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai peringkat-peringkat pencapaian fizikalnya mengikut masa dan jadual mereka tersendiri. Semua di atas hanya merupakan garis panduan am mengenai potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda -- jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, anda mungkin mendapati bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan sesuatu yang telah dapat dilakukan oleh bayi sama usia dengannya. Sebab itu, kebanyakan bayi yang dilahir pramatang diberi dua kiraan usia oleh pakar pediatrik – usia mengikut kronologi (dikira dari tarikh lahir) dan usia yang diubahsuai (dikira dari tarikh dia dijangka lahir). Anda harus mengukur perkembangan bayi anda berdasarkan usia yang telah diubahsuai, bukan usia kronologinya. Jangan bimbang, kebanyakan doktor menilai perkembangan bayi pramatang berpandukan tarikh dia sepatutnya dilahirkan dan menilai tahap pencapaian kemahirannya dari tarikh itu.